Saturday, December 7, 2013

Teknik Memancing Ikan Sepat di kawasan lombong atau air tawar

Guorami ini ada banyak spesis. Ikan Kaloi juga adalah spesis guorami. Ikan Sepat Ronggeng juga spesis Guorami. Ikan Kaloi memang biasa dipancing. Tetapi Ikan Sepat Siam biasanya jarang dipancing. Malah mungkin segelintir sahaja yang tahu ianya boleh dipancing. Sebab biasanya Ikan Sepat Siam ditangkap dengan pelbagai cara lain seperti Bubu, menjaring atau menimba air kolam/lubuk. Kepada sesiapa yang kenal Ikan Sepat Siam, mungkin mereka tahu bahawa ikan ini lebih gemar memakan lumut atau rumpair dan serangga-serangga kecil. Inilah halangannya untuk memancing ikan tersebut. Tetapi, ada caranya.

Oleh kerana memancing Ikan Sepat Siam ini aku kira adalah unik, jadi aku nak kongsikan cara-cara memancingnya seperti mana kami lakukan.



Ikan Sepat Siam memiliki mulut yang kecil dan lembut. Oleh itu, mata pancing yang digunakan mestilah cukup kecil untuk muat masuk ke dalam mulutnya. Mata pancing yang elok ialah bersaiz mata pancing udang galah.

Ikan Sepat Siam lazimnya memakan rumpair dan mungkin juga serangga-serangga kecil. Pernah juga kami menggunakan umpan biji sawit yang dihiris halus. Masalahnya biji sawit itu keras. Kadangkala Ikan Sepat Siam hanya 'memagut' dan meninggalkannya. Jadi, agak sukar untuk menarik joran mengikut 'timing' yang betul. Lalu kami menggunakan sejenis cacing tanah yang halus.


Saiz/jenis cacing tanah yang sesuai adalah yang kecil. Maknanya, cukup-cukup untuk mencucuknya pada mata pancing yang halus tadi itu. Cacing tanah ini biasanya senang di dapati di tanah lembab. Kami biasa mencarinya di tepi-tepi tanah sawah dan batas sawah. Cacing tanah yang hidup di tanah biasa atau di bawah-bawah pokok pisang itu bersais besar. Kerana apa umpan itu perlu kecil? Kerana mulut Ikan Sepat Siam itu kecil dan lembut.

Joran yang kami gunakan ialah bukan joran untuk teknik 'casting' seperti memancing ikan haruan atau di laut dalam. Ia hanyalah joran biasa dengan tali 'tangsi' diikat mati pada hujung jorang tersebut. Joran aluminium 10 kaki dan lebih adalah sesuai. Joran buluh pun boleh juga tetapi perlu cukup panjang dan ringan. Jika tidak nanti tangan akan lenguh kerana yang penting dalam memancing Ikan Sepat Siam ialah tekniknya. Batang joran perlu cukup panjang kerana Ikan Sepat Siam amat sensitif kepada sebarang pergerakan, kecuali kalau kita berlindung di dalam semak samun.


Tali pancing juga perlu cukup panjang, minima 4 kaki panjang kerana kalau hujung joran terlalu dekat, pergerakan joran akan menyebabkan Ikan Sepat Siam tidak timbul. Ia juga ada kena mengena dengan teknik memancingnya.

Teknik Memancing Ikan Sepat Siam

Memancing Ikan Sepat Siam tidak sama dengan memancing ikan lain. Hatta memancing Ikan Puyu dan Ikan Keli juga berbeza. Ini kerana perangai/kelakuan Ikan Sepat Siam berbeza dengan ikan-ikan paya yang lain. Jikalau kita merendam umpan ke dasar atau separuh dasar (seperti memancing Ikan Puyu atau Ikan Keli), biasanya umpan akan dimakan oleh Ikan Puyu, malah Seluang pun mungkin juga.

Ikan Sepat Siam gemar bermain di permukaan air. Sesetengah bahasa daerah menggelarnya 'manggak', iaitu perilaku timbul dan menyedut udara di permukaan air dengan agak lama. Akan terlihat mulutnya itu terbuka dan tertutup di permukaan air. Oleh sebab itu, air tersebut biasanya mestilah tenang atau berarus perlahan. Biasanya paya atau lombong. Ikan Sepat Siam tidak pernah / jarang 'manggak' di tali air atau sungai yang berarus deras.

Teknik memancing Ikan Sepat Siam adalah seperti berikut:

Pilih lokasi paya atau lombong yang mempunyai Ikan Sepat Siam bersaiz besar. Pastikan juga tempat dimana Ikan Sepat Siam gemar 'manggak' atau menyedut udara. Jikalau di tempat yang ada rumpair terapung atau paya, perlulah dibuat lubang pada rumpair/paya itu dalam 1 kaki diameter paling kurang sehari sebelumnya. Ia akan menjadi tempat untuk Ikan Sepat Siam itu timbul dan 'manggak'.

Biasanya Ikan Sepat Siam akan 'bermain' udara / 'manggak' itu pada hari terang dan panas, kira-kira pukul 10am ke atas. Posisi tempat memancing itu diantara kita dan matahari. Bermakna, jangan sampai bayang-bayang kita 'jatuh' ke tempat kita nak pancing. Ini akan menakutkan Ikan Sepat Siam dan ia tak mahu timbul. Jangan pakai baju-baju yang berwarna terang-terang. Jika tak dapat dielakkan, kita perlu 'sembunyikan' tubuh kita dibalik semak seperti rumput Mensiang atau Pokok Keladi atau pokok Senduduk.
Setelah umpan cacing dipasangkan pada mata pancing, turunkan umpan itu perlahan-lahan sekitar 4-5 inci sahaja dari permukaan air. Pastikan jangan ada pergerakan umpan yang terlalu ketara. Joran juga perlu tegap (steady). Sebab itulah joran aluminium adalah terbaik sebab ianya lebih ringan. Jika tidak, tangan akan cepat lenguh. Perlu diingat, sebarang pergerakan yang ketara akan menyebabkan Ikan Sepat Siam tidak mahu timbul dan 'manggak' kerana ia takut.

Tunggu sehingga ada Ikan Sepat Siam yang timbul dan 'manggak'. Apabila dia telah timbul dan bernafas, naikkan umpan PERLAHAN-LAHAN ke permukaan air dan dekatkan umpan itu ke mulut Ikan Sepat Siam tadi, lebih kurang 1 inci sudah cukup. Ingat, jangan naikkan umpan terus ke atas permukaan air. Ikan akan terus menyelam dan lari.

Kemudian, jatuhkan umpan (atau rendamkan umpan) kepada kedalaman 4-5 inci semula. Biasanya, apabila kita buat begitu, Ikan Sepat Siam itu akan menyelam semula dan mengikut umpan itu jatuh. Pada ketika inilah kita perlu berjaga-jaga dan lihat tali pancing dengan cermat. Sifat ingin tahu ikan itulah yang menyebabkan ia boleh dipancing.

Beberapa saat selepas ikan tadi menyelam dan mengekori umpan tadi, kalau ikan itu berminat, kita akan dapat lihat tali pancing tadi akan bergerak-gerak seperti dilanggar ikan. Tali pancing tadi bukan seperti ditarik-tarik seperti memancing Ikan Puyu atau Keli tetapi hanya bergerak-gerak seperti disenggol dengan tubuh ikan. Ini kerana Ikan Sepat Siam tidak memagut umpan seperti ikan lain. Ia akan menyedut dan meluahkan umpan itu beberapa kali.

Biarkan tali pancing itu bergerak-gerak dalam 3-5 saat dan ANGKAT joran itu. Ya, hanya angkat joran itu dan TAK BOLEH sentap kerana mulut Ikan Sepat Siam adalah lembut. Ianya lebih kurang sama seperti memancing Udang Galah. Jangan dibiarkan tali pancing itu bergerak-gerak lebih dari 5 saat kerana pada masa itu mungkin Ikan Sepat Siam itu mungkin sudah tak minat atau mungki sudah terasa besi mata kail.
Jikalau semasa kita jatuhkan umpan di hadapan ikan tadi tetapi ikan itu tiada reaksi, cubalah beberapa kali lagi. Motif utama ialah untuk menarik perhatian ikan itu kepada umpan yang jatuh.



Memang memancing Ikan Sepat Siam memerlukan kemahiran dan teknik yang unik tetapi itulah juga yang menyebabkan kenapa memancing Ikan Sepat Siam sungguh seronok. Kepuasan menaikkan Ikan Sepat Siam dengan cara memancing adalah lebih bagus daripada menangkapnya menggunakan bubu atau jaring.

Silakanlah mencuba dan semoga berjaya.

No comments:

Post a Comment

ShareThis

Lagi Info Menarik

.. ..

My Blog List